Ahad, 19 Julai 2009

E-DAGANG

Definisi

Islam adalah agama sempurna. Prinsip-prinsip yang ada di dalam Islam sesuai dan tidak pernah ketinggalan zaman meskipun apa yang dinyatakan hanyalah berbentuk prinsip-prinsip serta kaedah-kaedah yang ringkas sahaja. Islam juga bukanlah ugama yang rigid dan beku serta tidak berkembang. Prinsip-prinsip yang ada di dalam Islam boleh disesuaikan dan dipadankan mengikut keperluan semasa. Undang-undang Islam sentiasa berkembang selari dengan perkembangan ilmu dan teknologi. Perniagaan adalah keperluan hidup masyarakat sejak dahulu. Kehendak dan keperluan ini tidak pernauh berubah. Perubahan hanyalah berlaku kepada barangan atau material yang diperniagakan serta method transaksi ini di laksanakan. Perkembangan teknologi maklumat (IT) turut membawa perubahan kepada cara transaksi dilakukan. IT digunakan sebagai salah satu media perniagaan yang disebut sebagai E-dagang atau E-commerce (Internet Base Business).

Perkembangan teknologi di dalam sektor kewangan ini ternyata merupakan elemen yang amat penting di dalam industri perkhidmatan kewangan kerana kewujudan teknologi ini membawa arus perubahan kepada cara perniagaan serta penghantaran barangan kepada para pengguna. Dengan kewujudan revolusi multimedia ini juga, bukan sahaja maklumat yang berbentuk data yang boleh dihantar bahkan grafik, video serta suara juga turut boleh dihantar dari satu tempat ke satu tempat yang lain di seluruh dunia dengan cara yang pantas. Bagi syarikat-syarikat atau agensi samada kerajaan atau swasta, IT mempunyai banyak kelebihan di dalam mengatur dan menyusun pengaliran wang serta perbelanjaan kerana melalui IT ini mereka boleh memantau segala perbelanjaan yang dibuat, menjangka keperluan di masa akan datang, mengatur langkah berjimat cermat dan lain-lain.

Bagi sistem perbankan pula selain dari menyediakan perkhidmatan yang lebih efektif kepada pelanggan, pihak institut kewangan juga berkemampuan untuk memantau keperluan pelanggan dari masa ke semasa secara automatik apabila keperluan pelanggan berubah kerana sebab-sebab tertentu seperti bertambahnya pendapatan bulanan, penukaran kenderaan, insuran dan lain-lain. Semamangnya tiada nass yang jelas tentang hukum menjalankan perniagaan dengan cara demikian kerana cara perniagaan seumpama ini tidak pernah wujud di zaman Rasulullah dan juga para sahabat. Yang pasti, selagimana perniagaan tersebut tidak terlibat dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan prinsip Islam, maka perniagaan itu dianggap sah dan halal menurut syara’. Ini dijelaskan di dalam al-Qur’an (Surah al Baqarah: 275), bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba….”

Kewujudan transaksi seperti ini memaksa para ulama’ membuka mata dan mengenali serta mendalami transaksi seperti ini sebelum sesuatu fatwa atau ijtihad itu dilakukan. Mengeluarkan fatwa tanpa terlebih dahulu memahami hakikat serta keperluan manusia di dalam perkara tersebut boleh mengundang rasa tidak puas hati masyarakat terhadap prinsip Islam dan sekaligus menjadikan fatwa/ijtihad itu tidak praktikal untuk dilaksanakan.Matlamat penulisan ini adalah untuk membuka minda umat Islam amnya dan para ulama’ khususnya agar mempunyai persepsi yang positif terhadap teknologi maklumat dan tidak hanya melihat IT sebagai suatu yang negatif semata-mata yang boleh merosakkan minda serta akhlak masyarakat seperti pornografi, perjudian, pembaziran masa, masalah sosial dan lain-lain.

IT sebenarnya adalah merupakan satu wadah yang boleh digunakan untuk memantapkan ummah dari pelbagai sudut samada ekonomi, politik, sosial dan lain-lain. E-dagang bolehlah didefinisikan sebagai satu bentuk sistem pembayaran yang mana proses serta komunikasi yang berlaku di antara kedua belah pihak (penjual dan pembeli) memberi kesan dari sudut ekonomi dan memberi kesan yang perlu kepada pengeluaran, pengedaran atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan ekonomi berlandaskan kepada elektronik (Kent W. Colton & Kenneth L. Kraemer. 1980:8). Transaksi yang dijalankan melalui cara ini sebenarnya banyak membuka peluang kepada para peniaga serta pelanggan untuk menjalankan perniagaan serta mendapatkan produk yang mereka ingini dengan lebih cepat serta efektif. Sistem ini juga dilihat sebagai salah satu dari jalan penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh firma-firma perniagaan di masa lalu.

Kewujudan sistem ekonomi seumpama ini kemungkinan akan memberi kesan secara serius kepada penggunaan kertas, wang serta chek di masa-masa akan datang (Kent W. Colton & Kenneth L. Kraemer. 1980: 3-4). Pembayaran di dalam bentuk baru ini ternyata amat murah dan mudah jika dibandingkan dengan cara pembayaran yang dibuat secara konvensional dan sekaligus akan mengurangkan keperluan kepada pengaliran wang tunai (Andress Furche, Graham Wrightson, t.t ; 80) dan ini sekaligus akan mengurangkan fungsi yang dimainkan oleh Bank Pusat (central Bank).

Berdasarkan kepada satu kajian yang dibuat, penurunan dari sudut penggunaan wang tunai adalah amat besar dengan kewujudan sistem pembayaran yang baru seperti penggunaan kad kredit atau kad debit ini berbanding 30 tahun yang lalu. Di Jerman sebagai satu contoh, perbelanjaan keseluruhan pada tahun 1990 adalah sebanyak DM 4,825 Billion dan dari jumlah itu hanya 4% sahaja wang tunai digunakan (Andress Furche, Graham Wrightson, t.t : 80-81). Di Malaysia perkembangan e-dagang adalah amat memberangsangkan walaupun ia masih baru dengan mencatatkan pertumbuhan kira-kira 100 peratus setiap tahun (Utusan Malaysia, 25/5/01). Aktiviti e-dagang di Malaysia juga dijangka berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 90 peratus sehingga 2005 dengan mencatatkan jumlah pasaran bernilai RM35.72 bilion (Utusan Malaysia, 25/5/01).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan